Thursday, May 7, 2009

Penting ke Mempertahankan Diri?

JOM BELAJAR CAPOEIRA

Ramai yang masih ragu-ragu dengan “apakah hukum mempelajari ilmu seni mempertahankan diri.” Saya merasakan pertanyaan ini seringkali dijawab dengan jawapan-jawapan yang sambil lewa dan tidak mengambil berat dalam pengambilan pandangan-pandangan dikalangan ulama’ muktabar. Seringkali, menjawab pertanyaan ini dengan berkata, “boleh, tidak ada masalah. Sebab kita wajib mempertahankan diri.” Memang benar jawapan ini, tetapi mengapa kita tidak membesarkan mata kita terhadap seni mempertahankan diri yang tidak selari dengan tuntutan syariat? Misalnya, harus tunduk sembah kepada gambar master yang sudah mati. Tunduk sembah kepada matahari, dan pengambilan bahan-bahan yang diharamkan dalam Islam serta mengamalkan petua-petua yang secara jelas mengingkari akidah islamiah. Selain itu, ada juga seni mempertahankan diri, membutakan penglihatan-penglihatan para pelajarnya dengan mempamerkan sesuatu yang diluar batas kemampuan manusia. Adakah pertunjukkan ini mahu mengambarkan pembuatnya itu adalah wali? Sedangkan sesuatu karamah atau maunah, bukanlah boleh didatangkan dengan kehendak manusia itu. Tetapi karamah atau maunah, didatangkan atas keizinan Allah dan kehendak-Nya. Selain daripada(maunah dan karamah) itu, semuanya adalah istidraj. Iaitu sesuatu yang diberikan kurnia semata-mata untuk menjerumuskan manusia terus ke dalam kesesatan.


Perbahasan para Ulama’

Ulama sejak dari dahulu telah membahaskan tentang(hukum) mempelajari seni mempertahankan diri. Dalil yang diambil dalam memahami isu ini ialah dari surah al-Anfal ayat 60, “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi.”

Terdapat juga sebuah hadith yang direkodkan Abu Daud[1], bahawa Nabi saw pernah bergusti dengan Rukanah.Dan menurut hadith tersebut, Rukanah dan Nabi saw pernah bergusti lebih dari sekali. Berdasarkan kepada hadith ini, para ulama’ mengulas bahawa gusti tidak akan sesekali mengurangkan kewibawaan, kemulian dan darjat seseorang.

Menurut sebahagian ulama'[2], “belajar seni mempertahankan diri adalah dibenarkan bagi mereka yang mampu. Kadangkala ia menjadi wajib bagi seseorang. Khususnya bagi mereka yang diancam dengan serangan fizikal. Dengan mempelajari ilmu bela diri, seseorang akan memliki bekal untuk menangkis serangan serta mematahkan usaha lawannya. Pandangan ini sesuai dengan kaedah syariat yang menyebutkannya, "mala yatimmul wajib illa bihi fahua wajib", (“Hal yang menjadi syarat bagi terjadinya sesuatu yang wajib, maka hukumnya menjadi wajib pula.”)


Seni mempertahankan diri tidak harus ada campur tangan hal-hal yang boleh menggoncangkan akidah. Seni mempertahankan diri itu mestilah jauh dari unsur-unsur syirik, khurafat dan bid'ah. Kalau seni silat sekalipun, tetapi ianya mengandungi perkara-perkara syirik, khurafat dan bid'ah seperti mandi bunga, mandi limau, mandi tawassul dengan kain putih dan seumpamanya, maka sudah tentu kita tidak boleh menyertainya.[3]


Tujuan seni mempertahankan diri

Tujuan Capoeira atau seni mempertahankan diri yang lain yang utama adalah untuk mempertahankan diri dari serangan musuh. Tetapi konsep ini seharusnya dilihat dengan lebih luas, kerana seni bela diri bukan sahaja mengajar cara untuk berhadapan dengan musuh tetapi juga membina kekuatan jasmani pengamalnya. Perkara ini menepati kehendak Islam yang menginginkan penganutnya sentiasa sihat dan kuat. Sepertimana dalam sebuah hadith yang direkodkan Imam Muslim[4], bahawa Nabi saw berkata “seorang mukmin yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah daripada mukmim yang lemah.”

Dalam hal ini, Islam tidak menghendaki tubuh yang rapuh; yang tidak boleh menangung beban ketika sedang dituntut darinya, tidak mampu menghadapi kesengsaraan,serta tidak kuat ketika mendapat tentangan. Islam menolak manusia seperti yang digambarkan oleh seorang penyair arab dahulu:

“terpaan angin-angin sepoi melukai kedua belah pipinya,
dan usapan sutera membuat hujung-hujung jemarinya berdarah.”

Kesimpulannya, seni mempertahankan diri atau seni bela diri tidak kiralah sama ada capoeira, silat, taekwando, atau apa jua seni sekalipun, haruslah bersih daripada perbuatan yang menyalahi syariat serta tidak mendatangkan bahaya kepada pengamalnya; fizikal dan mental.


[1] Hadith ini adalah hadith Hassan menurut kitab “takhrij Ahadith al-Halal wa Al- Haram.

[2] Feqh Al-Lahwi wa At-Tarwih.

[3] boleh dirujuk di http://al-qayyim.net

[4] Hadith ini boleh dirujuk di kitab Kirab Al-Qadar .